Jumat, 05 Oktober 2012

MEWANGI BUNGA DUNIA

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Apabila umatku membesarkan dunia, dicabutlah daripadanya kebesaran Islam dan apabila dia meninggalkan amal ma’ruf nahi mungkar, diharamkan baginya akan keberkatan wahyu.” (Riwayat Tirmidzi)

AWAS ! Apabila hati kita sudah mula tersasar dan condong untuk mencintai dunia. Cinta dan membesarkan dunia. Segala-galanya untuk terus kekal di dunia. Seolah-olah tiada kematian esoknya. Segalanya dikorbankan untuk dunia. Dunia adalah segala-galanya. Malang sungguh jika kita berkeadaan demikian.

Cintakan wanita mengatasi cinta kepada Allah swt. Cinta kepada harta, lebih dijunjung daripada mencintai junjungan besar Muhammad saw. Cintakan hiburan dan permainan, lebih disanjung daripada membesarkan ilmu al-Quran dan al-Hadis. Segala-galanya kerana cinta. Demi cinta. Untuk cinta. Sungguh dan benar…..Cinta itu ternyata sungguh indah dan mengasyikkan.

Firman Allah swt dalam surah az-Zukhruf, ayat 36 -37 yang bermaksud :

“Barang siapa yang berpaling dari mengingati (Tuhan) Yang Pemurah, maka akan Kami tambatkan baginya syaitan dan syaitan itulah menjadi teman yang tidak terpisah dengannya. Syaitan itu menyimpang mereka dari jalan yang benar sedang mereka menyangka mereka berada dipihak yang mendapat petunjuk (pimpinan).”

Kebesaran Islam akan mula longgar, Ingatan kepada Tuhan kian pudar dan malap. Cinta kepada Rasul akan mula hilang. Ajaran baginda SAW tidak lagi menjadi panduan. Hidup tiada lagi pedoman dan hilang arah tujuan.

Kebaikan sudah ditelan kejahatan. Kejujuran dan amanah mula terkubur oleh pengkhianatan. Nafsu mulai menguasai akal dan ilmu. Iman terbang entah ke mana dan disia-siakan. Tiada lagi rasa malu kepada Allah swt yang menghalang manusia dari berbuat mungkar dan maksiat.

Tanpa belas kasihan, daging saudaramu diratah dengan peluru kebencian yang menerobos ke jantung hatinya, diperkosa dengan nafsu serakah yang merakus segala kesucian jiwanya, dimamah dengan belati kebejatan yang merobek segala keharmonian hidupnya. Dan.. tanpa belas ihsan, darah saudaramu dihirup penuh nikmat dalam kehausan yang tidak mengenal rasa dan perisa.

Segala keburukan sifat dan olah hasil kejahatan diri, mula terpalit membungkus kehidupan tubuh yang nantinya tidak akan mampu menghalang azab siksaan Allah. Perut diisi dengan air setan yang menjadi susur galur darah mengikut alirannya.

Tangan bergerak rakus menghitung daun-daun terup di atas meja kemusnahan punca kehidupan yang meranap rezekinya. Mulut berkepul dengan asap rokok yang memusnahkan jati diri kesegakan dengan melemaskan jiwa yang murni dan lestari alam semesta dalam hangus kehitaman.

Semakin jauh dari citra diri atas nama muslim yang beragama. Tanpa sedar menghina diri sendiri. Kaki bergerak pantas ke rumah pelacuran – tempat persinggahan bagi kemusnahan sifat kemanusiaan dan kemuliaan insani.

Atau apa sahaja aktiviti “gelap” yang terhasil oleh tingkah kebinatangan manusia, yang sudah hilang sifat malu sebagai khalifah yang sepatutnya menyemarakkan keharmonian dan kedamaian bumi. Yang telah dibekal dengan AKAL dan ILMU. Semua pertanggungjawaban ini akan dipersoalkan di hadapan Yang Maha Hakim. Tiada siapa yang akan terlepas. Tiada siapa yang akan dizalimi.

0 komentar:

Posting Komentar